CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, April 27, 2009

Perlawanan Liga ke 8

Liga Super : Hajat Pahang tak kesampaian

Impian Pahang untuk menjadi pendahulu liga pada pusingan ke 8 Liga Super tidak kesampaian setelah diikat Felda United FC 3-3 di Stadium Bola Sepak Cheras KL. Walaupun lebih banyak menguasai permainan dan menghasilkan banyak peluang, namun Pahang gagal mencatatkan kemenangan.

Turun sebagai pasukan pelawat, Pahang terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah seawal minit ke 5 menerusi jaringan Amer Bukhari. Tersentak dengan kejutan awal itu, Felda United FC menggandakan asakan ke kubu Pahang dan tiga minit kemudian, Johari Bahri menjaringkan gol penyamaan menerusi tandukan ke penjuru kanan pintu gol Pahang.

Pada minit ke 18 pula, giliran ketua pasukan Pahang, Megat Dahari menjaringkan gol hasil kesilapan perangkap ofsaid pertahanan lawan. Beliau sekali lagi berjaya memperdaya penjaga gol Felda United FC pada minit ke 30 dan menjarakkan kedudukan kepada 3-1.

Belum puas meraikan gol ke 3, Pahang tersentak apabila pertahanan Zulkifli Masulok tertanduk bola ke gawang sendiri dan kedudukan berubah 3-2.

Ketika permainan dilihat bakal menyebelahi Pahang, Syed Adney Ravinthiran muncul wira Felda United FC dengan jaringan penyamaan pada minit ke 88. Beliau menerima hantaran silang yang cantik daripada Mat Aris Zuriman dan tidak mensia-siakan peluang keemasan itu.

Kedudukan kekal 3-3 hingga ke wisel penamat dan Pahang gagal untuk memintas Johor MBJB di tangga pertama. Johor MBJB pula terus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu liga setelah menumpaskan Johor 2-1.


Liga Perdana : Proton FC terus mengekori

Proton FC yang kini berada di tangga ke 2 Liga Perdana terus mengasak dan mengekori pendahulu, Perlis setelah berjaya menumpaskan Johor FC 1-0 di Stadium JCorp Pasir Gudang.

Gol tunggal perlawanan dihasilkan menerusi rembatan jauh Geomar Sussi pada minit ke 9. Perlawanan agak tegang berikutan kedua-dua pasukan mengharapkan kemenangan untuk mengisi slot 5 pasukan yang akan naik ke Liga Super musim depan. Namun begitu, pengadil berpengalaman Sten Koll mengawal permainan dengan baik dan hanya melayangkan satu kad kuning kepada pemain Johor FC, Saidin Kassim.

Ketika pengurus Johor FC ditemui wartawan LM X11, beliau menyatakan rasa kesal di atas kegagalan pemainnya menggunakan kelebihan beraksi sebagai tuan rumah. "Saya sudah mengenalpasti beberapa kesilapan pasukan ini dan akan mengambil tindakan segera agar kekalahan seperti ini tidak berulang. Masih ada peluang buat Johor FC bangkit selepas ini andai semua pihak memainkan peranan membangunkan skuad ini."

Manakala Raeis_02, pengurus Proton FC pula menyifatkan kemenangan pasukannya itu adalah hasil titik peluh pemainnya yang bermain melebihi tahap kemampuan sebenar. -krew x11

0 ulasan: